Covid-19: Sukma 2020 ditangguh -- Reezal Merican

Oleh Bernama 25 Mac 2020 156
Covid-19: Sukma 2020 ditangguh -- Reezal Merican
Sukan Malaysia (Sukma) 2020 di Johor yang dijadual Julai ini, ditangguhkan ke satu tarikh akan ditetapkan kemudian berikutan ancaman wabak COVID-19.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukma menerusi persidangan video petang ini, sebulat suara bersetuju dengan keputusan itu.

Menerusi kenyataan media, beliau berkata keputusan itu dibuat dengan mengambil kira aspek paling utama iaitu demi keselamatan dan kesihatan atlet, jurulatih, pegawai serta semua yang terlibat dalam temasya itu.

“Jawatankuasa juga bersetuju agar tarikh baharu akan diputuskan dengan secepat mungkin pada mesyuarat akan datang, iaitu selewat-lewatnya pada awal Mei 2020. Dua cadangan tarikh baharu menjadi pilihan majoriti iaitu pada Disember 2020 atau dianjakkan ke 2021 setelah mengambil kira beberapa perkara.

“Antaranya ialah pemantauan berterusan perkembangan wabak COVID-19; tiada pertindihan dengan tarikh-tarikh penting yang lain seperti peperiksaan awam, acara-acara sukan utama; serta meneliti dan mengambil kira kepentingan semua pihak berkepentingan Sukma 2020, khususnya negeri Johor sebagai tuan rumah,” katanya.

Sukma Johor pada awalnya dijadual berlangsung dari 11 hingga 19 Julai ini, dengan kehadiran hampir 30,000 atlet, pegawai, petugas media dan sukarelawan.

Reezal Merican berkata beliau juga sudah mengarahkan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail dengan kerjasama Sekretariat Sukan Malaysia Johor untuk membuat penelitian yang komprehensif dengan mengambil kira maklum balas daripada semua pihak berkepentingan.

Ia merangkumi aspek kelayakan dan persiapan atlet, implikasi ke atas aktiviti promosi, pemasaran, program pra-Sukma, penajaan, branding, liputan media, persiapan logistik, kemudahan pertandingan sukan spesifik dan lain-lain aspek berkaitan untuk dilaporkan kepada Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukma akan datang.

Jawatankuasa Tertinggi Sukma itu dianggotai oleh semua 14 exco Belia dan Sukan negeri, termasuk exco negeri Johor selaku penganjur; Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Dr Waitchalla RRV Suppiah; Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria; Ahmad Shapawi; Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara Ahmad Faedzal Md Ramli dan Sekretariat Sukan Malaysia Johor.

Beliau turut meminta Waitchalla selaku Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Para Sukma Johor 2020 (11 hingga 22 Ogos) untuk mengambil tindakan serupa bagi menangguhkan temasya berkenaan.

Sementara itu, Reezal Merican mengalu-alukan keputusan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) dan Jepun untuk menangguhkan Sukan Olimpik Tokyo 2020 ke tahun hadapan.

“Penangguhan Sukan Olimpik mengambil kira situasi semasa COVID-19 dan atas kepentingan yang paling utama iaitu untuk menjaga keselamatan dan kesihatan atlet, pegawai dan semua terlibat. KBS dan MOM akan bekerjasama rapat untuk meneliti implikasi keputusan itu ke atas atlet dalam masa terdekat ini,” katanya.

-- BERNAMA

Tentang Penulis

Bernama

Komen