Skuad skuasy negara menggantung program latihan dan kejohanan sehingga 31 Mac ini seiring dengan arahan Kerajaan Malaysia.

Skuad kebangsaan sudah pun memulakan langkah pencegahan sebelum pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, malam tadi mengumumkan perintah kawalan pergerakan yang bermula esok.

Ia susulan kepulangan beberapa atlet daripada menyertai kejohanan dan kem latihan di Eropah seperti Ng Eain Yow yang berpangkalan di Bristol, England, sejak hujung tahun lalu.

"Kami perlu ambil serius saranan perdana menteri dan kuarantin diri sendiri dengan disiplin.

"Semakin kami menjarakkan diri dengan masyakat adalah baik demi negara.

"Kami perlu dikuarantin selama 14 hari, ia satu nilai yang kecil tetapi boleh memberi kesan besar," kata Pengarah Kejurulatihan SRAM, Mejar (B) S. Maniam, kepada wakil Nadi Arena, Shahrazad Sani, di Bukit Jalil hari ini.

Untuk tempoh jangka masa pendek, Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) berasakan penggantungan itu tidak akan memberi kesan serius.

"Sepanjang tempoh itu ia tidak akan begitu menjejaskan prestasi pemain dan kami akan memantau kegiatan harian pemain.

"Mereka mungkin boleh berlatih pada Isnin sahaja jadi harapan saya, langkah menyisihkan mereka daripada skuasy dalam tempoh 14 hari boleh menyemarakkan lagi keinginan mereka sejurus kembali kelak."