Amerika Syarikat (AS) kini menjadi tumpuan dunia berikutan wabak koronavirus baru (Covid-19), lantas ia membangkitkan kebimbangan ke atas status pemain sensasi skuasy negara, S. Sivasangari, yang berpangkalan di New York.

Kes kematian di bandar raya itu sahaja membabitkan lebih 10,000 orang manakala bilangan pesakit positif Covid-19 berkenaan hampir 200,000.

Secara lazimnya, pemain berumur 21 tahun itu jarang di media sosial kerana sentiasa fokus dengan latihan berkeamatan tinggi dan pengajian di Universiti Cornell.

Selepas beberapa hari berkomunikasi dengannya, Sivasangari akhirnya bersetuju untuk berkongsi situasi semasanya.

"Sudah sebulan saya pulang (ke Malaysia).

"Situasi di beberapa tempat di New York sangat buruk manakala semua sekolah ditutup.

"Pada awalnya saya berharap untuk berlatih selama beberapa minggu tetapi saya langsung tidak dapat berbuat apa-apa, malah untuk tinggal di sana.

"Sebab itulah saya balik," katanya ketika ditemu bual wartawan Nadi Arena, Shahrazad Sani.