Covid-19:  Siaran percuma semua saluran buat pelanggan Pakej Sukan Astro

Oleh Muzaffar Musa 19 Mac 2020 190
Covid-19:  Siaran percuma semua saluran buat pelanggan Pakej Sukan Astro
Sedar akan kesukaran menghadapi pandemik Covid-19 yang sedang melanda negara ketika ini, Astro menawarkan lebih pilihan rancangan buat kesemua pelanggan Pakej Sukan dengan menghadiahkan siaran percuma kesemua saluran Astro sehingga 30 April ini.

Wabak berkenaan mencetus kebimbangan dan gangguan buat seluruh acara sukan di Malaysia dan dunia dengan hanya beberapa acara sukan masih diteruskan ketika ini.

Gara-gara wabak itu, hampir keseluruhan liga-liga utama di Eropah, termasuk Liga Perdana Inggeris, Serie A, Ligue 1, LaLiga dan Bundesliga, terpaksa ditunda sehingga bulan depan.
 

"Pandemik COVID-19 tidak pernah berlaku sebelum ini di mana banyak acara termasuk acara sukan global telah ditangguhkan oleh penganjur," kata Ketua Bahagian Sukan Astro, Lee Choong Khay.

"Ketika dunia sedang melalui waktu mencabar untuk membendung pandemik COVID-19, Astro terus komited untuk berkhidmat kepada peminat sukan di Malaysia.

"Kami terus bekerjasama dengan rakan kongsi rancangan sukan kami untuk memastikan kami dapat terus memuaskan hati pelanggan," katanya.

Lee turut memberi jaminan bahawa pelanggan Pakej Sukan Astro akan dapat menikmati saingan EURO, yang telah ditangguhkan ke tahun depan, secara percuma apabila ia dilangsungkan.

"Sebelum ini, kami mengumumkan bahawa pelanggan setia Pakej Sukan kami akan dapat menikmati UEFA Euro 2020 secara percuma.

"Kami komited untuk mengekalkannya apabila kejohanan itu bermula pada tarikh baru dari 11 Jun hingga 11 Julai 2021," tambahnya.
 

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen