Covid-19: Saringan negatif, Joshua berlatih di rumah 

Oleh Shaiful Shamsudin 24 Mac 2020 44
 Covid-19: Saringan negatif, Joshua berlatih di rumah 
Atlet lawan pedang negara, Joshua Koh, lega apabila keputusan saringan wabak koronavirus baru (Covid-19) hari ini mendapati dia negatif selepas menghabiskan tempoh hampir tiga bulan berlatih di Itali.

Apatah lagi, dua peserta dalam kejohanan yang disertainya di Hungary dua minggu lalu turut dijangkiti.

Keputusan negatif itu memberi peluang untuk Joshua meneruskan sesi latihan di rumah.

Atlet berusia 29 tahun itu menjalani ujian kesihatan di ibu negara selepas seminggu pulang ke Malaysia.

"Saya baru terima keputusan saringan, ia negatif. 

"Saya gembira dan lega kerana semuanya baik," katanya kepada wartawan Nadi Arena, Bazly Azmi, hari ini. 

Meskipun kejohanan kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020 di Korea Selatan bulan depan ditunda ekoran penularan wabak Covid-19, namun Joshua perlu mengekalkan prestasi dengan menjalani latihan secara persendirian.

"Saya kini berlatih di rumah dan abang saya juga boleh memberi tunjuk ajar. 

"Setakat ini saya belum tahu status program mahupun kejohanan, tetapi saya tetap teruskan latihan dan kalau boleh akan segera pulang berlatih ke luar negara. 

"Apa pun, saya perlu pantau situasi ketika ini," katanya.

Setakat ini, hanya jaguh baling tukul besi, Jackie Wong, atlet tunggal negara yang positif pandemik itu dan sedang menjalani rawatan di Hospital Sibu, Sarawak.

 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen