Persatuan Ragbi Negeri Terengganu (PRNT) mengambil inisiatif dengan memberi sumbangan kepada barisan hadapan yang bertugas dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sumbangan berupa dua pasang khemah itu telah diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang bertugas di susur keluar di dua plaza tol.

Yang Dipertua PRNT, Amir Amri Mohamad, berkata kemudahan itu diharap memudahkan tugas pihak berkuasa yang membuat sekatan jalan raya dan menjaga keselamatan awam.

Selain itu, tujuan utama adalah berkongsi rasa tanggungjawab sosial selain menghargai peranan barisan hadapan dalam situasi penularan wabak koronavirus baru (Covid-19).

"Satu khemah bersaiz 20x20 sudah siap dipasang, masing-masing di susur keluar Plaza Tol Telemung dan Plaza Tol Kuala Terengganu.

"Turut disertakan adalah kipas, kerusi dan meja untuk keselesaan pihak keselamatan menjalankan tugas.

"Jika ada lagi permintaan daripada PDRM dan ATM, kami akan cuba usahakannya secara berperingkat," kata Amir yang juga Timbalan Presiden Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM).

Turut diumumkan adalah pelancaran Tabung Derma Covid-19 yang mengalu-alukan sumbangan derma daripada pemain ataupun peminat ragbi tanah air.

"Saya harap usaha murni ini dapat sambutan walaupun RM1 seorang untuk mengurangkan beban pihak yang memerlukan.

"Kepada yang mahu menderma boleh terus menyumbang kepada akaun Bank Islam milik KRM (14195010009446)," tambahnya.

Kredit foto: Persatuan Ragbi Negeri Terengganu (PRNT)