Majlis Olimpik Malaysia (MOM) mencadangkan tarikh Sukan Malaysia (Sukma) Johor, Julai depan dikaji semula selain menyokong penangguhan Sukan Olimpik Tokyo 2020 berikutan penularan wabak koronavirus baru (Covid-19).

Penularan pandemik itu kian meruncing di seluruh dunia.

Beberapa program besar terancam apabila membabitkan pengumpulan ramai individu di satu-satu tempat.

Situasi ini mengundang kebimbangan mengenai pelan menganjurkan Sukma Johor dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) diminta agar membuat keputusan segera.

"Kalau mereka teruskan Sukma dalam masa terdekat, (harus dipertimbangkan) apakah risiko yang akan berlaku pada masa akan datang terhadap atlet.

"Kami perlu melihat perkembangan dari semasa ke semasa.

"Kalau kes-kes baru (pandemik ini) berterusan, (penganjuran) Sukma akan lebih berisiko," katanya kepada wakil Nadi Arena, Bazly Azmi, hari ini.

Tempias lebih hebat lebih menjurus ke arah penganjur Sukan Olimpik Tokyo 2020, Jepun.

Ahli Jawatankuasa Eksekutif Jawatankuasa Penganjuran Sukan Olimpik Tokyo, Haruyuki Takahashi, mencadangkan temasya itu ditangguhkan ke 2022 dengan keputusan terletak di tangan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC).



"Dengan tindakan yang dibuat oleh Kerajaan Jepun dan Jawatankuasa Penganjuran Sukan Olimpik Tokyo, situasi mungkin boleh dikawal.

"Kalau pandemik ini terus berjangkit dan adanya risiko tinggi di Jepun, lebih baik kami melihat kepada alternatif sama ada tunda penganjuran Sukan Olimpik atau tukar lokasi."

Sementara itu, penganjuran Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia hujung bulan ini masih berlangsung sehingga diarahkan sebaliknya.

Selagi tidak mendapat arahan jelas, penganjuran Terbuka Malaysia akan berlangsung seperti dijadualkan, iaitu pada 31 Mac sehingga 5 April ini.

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) masih berhubung rapat dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mendapatkan nasihat seiring perkembangan Covid-19.

Badan induk itu, bagaimanapun, mengesahkan tidak ada toleransi terhadap peserta Terbuka Malaysia yang mengalami simptom demam dan tiada pengesahan bebas wabak itu.

"Kami masih memantau keadaan itu setiap hari.

"Untuk negara seperti Korea Selatan, kami difahamkan ia membabitkan dua daerah sahaja.

"Pemain-pemain mereka yang akan datang perlu membawa dokumen yang mengesahkan mereka bebas daripada wabak ini.

"Kami akan mengadakan satu laluan khas kepada semua peserta untuk mengemukakan pasport dan dokumen tersebut.

"Kalau didapati kurang sihat, mereka mungkin akan dikuarantin atau dihantar pulang," kata Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh, kepada wartawan Nadi Arena, Shahrazad Sani, di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, hari ini.