Prosedur ketat yang perlu dipatuhi setiap pasukan bola sepak dalam sesi latihan fasa pertama dan kedua menjadi rujukan utama buat Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebelum memberikan kebenaran kepada aktiviti sukan yang membabitkan sentuhan.

Aktiviti sukan dan rekreasi seperti bola sepak, sukan tempur, hoki dan sepak takraw dibenarkan bermula Rabu depan dalam Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), namun 15 Ogos ditetapkan sebagai tarikh yang dibenarkan untuk kejohanan seperti Liga Super, Liga Perdana dan Liga Sepak Takraw (STL) menyambung saingan.

Pengumuman oleh Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, hari ini di Putrajaya itu memberi reaksi positif terhadap warga sukan tempatan.

Dalam temu bual eksklusif Nadi Arena bersama Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Seri Norza Zakaria, gembira mengenai kebenaran MKN itu untuk menganjurkan pertandingan sukan dan juga sesi latihan yang akan berjalan seperti biasa.

"MOM dan seluruh persatuan sukan mengalu-alukan dan berterima kasih kepada KBS atas perancangan dan program yang sistematik.

"Fasa ketiga dan keempat akan memberi peluang kepada sukan-sukan bersentuhan untuk dibuka berikutan (kejayaan) proses fasa pertama dan kedua," katanya.


The Director of the Anti-Doping Agency of Malaysia (ADAMAS), Ms. Azura Abidin, made a courtesy visit to OCM on Thursday,...

Posted by Olympic Council of Malaysia on Thursday, July 2, 2020


Dalam masa sama, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sedang berusaha untuk mendapatkan kebenaran bagi kehadiran penonton di stadium memandangkan ia adalah salah satu sumber pendapatan bagi setiap pasukan.

Selain itu, perancangan fasa kelima dan keenam akan melibatkan kebenaran untuk kejohanan antarabangsa seperti MotoGP Sepang dan Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia yang akan dianjurkan kelak memandangkan ia berkait rapat dengan polisi sempadan negara yang dikawal ketat akibat penularan COVID-19 ketika ini.

"Sukan ini mempunyai pengikut yang ramai.

"Langkah ini merupakan cetusan kerajaan, berita ini memberi keceriaan dan kegembiraan buat dunia permotoran.

"Saya yakin ia akan merancakkan semula pembangunan sukan ini.

"Kebenaran yang diberikan oleh kerajaan ini datang daripada tanggungjawab bersama. Kami perlu menjadi contoh dan perlu mengikut prosedur operasi standard (SOP) untuk mengekalkan status zon hijau."