Presiden Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI), David Lappartient, mengumumkan penangguhan kalendar perlumbaan sekurang-kurangnya sehingga Julai depan ekoran wabak koronavirus baru (Covid-19).

Perlumbaan lebuh raya antarabangsa ditunda sekurang-kurangnya hingga 1 Julai sementara saingan bertaraf jelajah dunia akan bermula pada 1 Ogos depan.

Tindakan itu terpaksa diambil bagi melindungi pelumba dan pegawai pasukan daripada risiko jangkitan memandangkan mereka perlu mengibar cabaran ke berpuluh buah negara setiap tahun.

Lebih penting, kesatuan itu mahu keputusan tersebut mengurangkan kesan kewangan terhadap pasukan di seluruh dunia.

"Pagi ini, saya bersama-sama pemain kancah berbasikal profesional;, pasukan, penganjur dan pelumba telah mencapai kata sepakat.

"Terlebih dahulu, saya berbesar hati dengan persefahaman antara pasukan, pelumba dan UCI dalam memastikan kelangsungan dan ketahanan terhadap pasukan berbasikal profesional agar mereka dapat terus kekal (bersaing)," katanya dalam satu kenyataan.

Berikutan akan mengharungi tempoh selama empat bulan tanpa sebarang saingan, nasib pelumba yang bernaung di bawah pasukan tempatan seperti Terengganu Cycling Team (TSG) dan Sapura Racing Team (TSC) bagaimanapun terjamin.



"Buat masa ini kami tiada perancangan pemotongan gaji.

"Covid-19 ini merupakan isu sejagat dan pihak pengurusan tidak akan membuat pemotongan gaji kerana masing-masing mempunyai bebanan sara hidup, sama ada pelumba tempatan dan import.

"Gaji mereka akan kekal seperti yang termaktub dalam kontrak masing-masing, termasuk juga barisan pegawai pasukan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini," kata Ketua Pegawai Operasi (COO) TSG, Nasiruddin Wan Idrus, kepada wartawan Nadi Arena, Bazly Azmi.

Nada itu turut dilaungkan pengurus TSC, Sayuti Zahid: ""Kami sudah pun mempunyai bajet tahunan.

"Oleh kerana tiada apa-apa berita daripada penaja, kami tetap kekalkan gaji berdasarkan musim 2020.

"Saya berasakan tiada masalah untuk kekalkan (khidmat) mereka hingga Disember depan, sebaik kontrak mereka habis.

Kenyataan TSC itu nyata melegakan pelumba, Muhammad Zawawi Azman, sambil berterima kasih atas kerjasama pasukan yang memahami situasi semasa.

"Saya tidak berdepan masalah dengan pasukan sebaliknya saya dan ahli pasukan yang lain amat bersyukur (kebajikan dijaga).

"Kami tidak menghadapi masalah cuma biasalah keadaan sekarang perlu pakai duit banyak," katanya.