Covid-19: Nasib sukan tempur masih samar

Oleh Muzaffar Musa 1 Jun 2020 48
Covid-19: Nasib sukan tempur masih samar
Ketika atlet negara yang berada dalam Program Road to Tokyo (RTT) sedang teruja untuk kembali menjalani latihan, nasib dan hala tuju sukan tempur negara masih samar menjelang keputusan yang akan dikeluarkan Kerajaan Malaysia pada 9 Jun ini.

Sektor sukan mula menujukkan sinar harapan menerusi kluster latihan Program RTT yang bermula hari ini.

Bagaimanapun, nasib sukan tempur tidak begitu baik memandangkan mereka yang terlibat masih perlu menunggu keputusan selepas tamat tempoh perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) pada Jun ini.

Mewakili sukan silat, Setiausaha Agung Persekutuan Silat Kebangsaan (Pesaka), Datuk Megat Zulkarnain Omardin, berkata: "Kami akan menyertai Sukan Asia Dalam Dewan, di mana sukan silat telah diterima sebagai salah satu acara yang akan dipertandingkan pada awal tahun depan.

"Cuma apabila melibatkan peraturan baru ini, sukan fizikal mengalami sedikit kesukaran untuk menjalani latihan secara jarak jauh kerana ia memerlukan pemahaman yang penting dahulu sebelum mereka boleh menyesuaikan diri dan mahir dengan peraturan itu.

"Jadi, tarikh 9 Jun ini amat penting buat kami," katanya.

Atlet Taekwondo, Sara Yap, menambah: "Buat masa ini, kami masih di rumah dan tidak mendapat sebarang arahan daripada jurulatih atau MSN (Majlis Sukan Negara).

"Kami juga masih tidak berapa pasti mengenai tahun ini kerana wabak ini (Covid-19) berlaku agak awal.

"Kami juga masih merangka pertandingan yang akan disertai, jadi kami agak risau dengan KPI (petunjuk prestasi utama) kami," katanya.
 

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen