"Latihan 'kardio' berlebihan tidak baik untuk mengekalkan otot."

Itu nasihat jaguh bina badan negara, Syarul Azman Mahen Abdullah, kepada atlet muda yang berdepan kesukaran untuk mengekalkan otot tanpa peralatan bagi mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

"Nasihat saya, jangan terlalu kerap buat (senaman berbentuk) 'kardio', mungkin perlu dihadkan kepada tiga kali seminggu.

"Selepas sesi 'kardio', mereka boleh beralih kepada senaman.

"Ia hanya untuk mengekalkan prestasi sahaja tetapi untuk membentuk otot memang tidak boleh," katanya kepada ketika dihubungi laporan wartawan Nadi Arena, Nurul Syakirah Zulkifly.




Ekoran prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan kerajaan dalam tempoh PKPB, ia memberi cabaran kepada atlet bina badan berikutan tidak dapat melakukan latihan di dalam gimnasium.

Tambahnya, ia lebih sukar buat atlet muda bagi mengekalkan otot berbanding atlet bepengalaman atas perbezaan kematangan otot masing-masing.

"Memang susah nak bina otot (dalam keadaan sekarang). Ketika ini saya hanya dapat menggunakan getah yang sering digunakan untuk memanaskan badan bagi tujuan pengaliran darah di otot.

"Saya memerlukan sekurang-sekurang empat bulan untuk membuat persediaan bagi menghadapi pertandingan.

"Sebagai atlet senior, saya sudah ada kematangan otot jadi ia tidak akan mengambil masa yang lama, iaitu tiga bulan berbanding atlet muda yang perlukan persiapan selama enam hingga tujuh bulan."