Semua pusat latihan atlet Sukan Malaysia (Sukma) Sabah di seluruh negeri berkenaan diberhentikan dan ditutup buat sementara berkuat kuasa hari ini.

Pengarah Majlis Sukan Negeri Sabah (MSNS), Mohd Asneh Mohd Noor, dalam satu kenyataan, hari ini, berkata pemberhentian dan penutupan pusat latihan itu adalah selaras dengan keputusan Majlis Sukan Negara yang telah menutup kesemua cawangan pusat latihan mereka di semua negeri.

"Penutupan sementara premis dan operasi perkhidmatan MSNS ada berikutan penularan jangkitan wabak Covid-19.

"Ia juga selaras dengan arahan kerajaan yang diumumkan perdana menteri, baru-baru ini, yang melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan," katanya.

Bagaimanapun, Asneh menambah arahan bekerja dari rumah oleh semua warga MSNS akan diteruskan.