Covid-19: Kontrak skuad paralimpik terus berjalan 

Oleh Shaiful Shamsudin 11 Mei 2020 27
Covid-19: Kontrak skuad paralimpik terus berjalan 
Skuad paralimpik negara boleh menarik nafas lega selepas Majlis Sukan Negara (MSN) bersetuju meneruskan pembayaran elaun bulanan kepada atlet kebangsaan.

Ia dianggap berita baik kerana atlet-atlet para tetap menerima elaun walaupun Sukan Para ASEAN dibatalkan ekoran wabak koronavirus baru (Covid-19).

"Saya harap MSN sudah mempunyai perancangan untuk menentukan program atlet-atlet yang telah disenarai pendek agar nasib atlet Sukan Para ASEAN terpelihara," kata Setiausaha Agung Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk R. Subramaniam, kepada wakil Nadi Arena, Norhaliza Hamzah. 

Nadi Arena semalam melaporkan mengenai jaminan lanjutan kontrak terhadap 136 orang atlet para negara meskipun temasya di Filipina itu tidak akan berlangsung tahun ini. 

Ia secara tidak langsung membolehkan senyuman terlakar di wajah atlet para olahraga, Siti Noor Iasah Mohamad Ariffin, yang menjelaskan kontraknya sepatutnya tamat Mac lalu berdasarkan prestasi kejohanan dan petunjuk prestasi utama (KPI).

"Apabila diberitahu kontrak kami diteruskan, kami sedikit lega," kata Siti Noor Iasah. 

Dalam pada itu, ketua jurulatih olahraga para negara, R Jeganathan, lega apabila majoriti anak buahnya dapat meneruskan sesi latihan Program Road to Tokyo (RTT), 1 Jun depan kerana tidak terikat dengan komitmen pekerjaan.

"MSN akan hantar surat untuk pelepasan mereka. Setakat ini, mereka semua adalah atlet sepenuhnya kecuali seorang cikgu.

"Dia akan melaporkan diri beberapa bulan sebelum Sukan Para ASEAN bermula," katanya. 


 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen