Covid-19: KOM sahkan Jackie dijangkiti

Oleh Muzaffar Musa 16 Mac 2020 712
Covid-19: KOM sahkan Jackie dijangkiti
Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) mengesahkan bahawa jaguh baling tukul besi negara, Jackie Wong, merupakan atlet pertama disahkan positif wabak Covid-19. 

Jackie dikhabarkan berjumpa dengan bapanya, yang turut sah positif Covid-19, di kampung halamannya, Sibu, Sarawak.

Ketika ini, dia sedang menjalani rawatan di sebuah hospital tempatan dan sejarah perhubungan dan perjalannya sedang dijejak oleh Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN).

Susulan pengesahan itu, Presiden KOM, Datuk S. M. Muthu, mengarahkan kesemua aktiviti atlet, sama ada latihan mahupun kejohanan, dihentikan serta-merta sehingga arahan selanjutnya.

"Pada hari itu, bapanya tidak berapa sihat dan pergi ke klinik untuk mengambil ubat," kata Muthu.

"Dia masih belum sihat dan bertemu doktor sebelum disahkan positif Covid-19.

"Jackie menemani ayahnya dan selepas sehari, dia juga disahkan positif hari ini," katanya.

Mengenai penggantungan aktiviti atlet, Muthu menambah: "Tindakan ini akan terus diamalkan sehingga arahan selanjutnya diterima daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Sukan Negara dan Institut Sukan Negara.

"Dengan ini, kesatuan memandang perkara ini sebagai kepentingan utama untuk memastikan kesihatan semua atlet dijaga dan tidak dijangkiti wabak ini," tambahnya.

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen