Khabib Nurmagomedov menyuarakan kesangsiannya mengenai perlawanannya dengan Tony Ferguson sambil mendedahkan bahawa dia masih tidak tahu di mana pertarungan UFC 249 itu akan dilangsungkan.

Perlawanan penentuan gelaran lightweigh itu dijadualkan untuk berlangsung di Brooklyn pada 18 April lalu tetapi pandemic Covid-19 ketika ini memaksa ia ditunda ke venue baru.

UFC sudahpun menunda empat pertarungan gara-gara wabak berkenaan, namun presiden, Dana White, berkata perlawanan di antara Khabib dan Ferguson akan tetap diteruskan.

Bagaimanapun, Khabib, yang dilaporkan sudah pulang ke Russia, meluahkan rasa sangsinya mengenai perlawanan itu dalam akaun Instagramnya.

"Kami langsung tidak faham apa yang sedang berlaku," katanya seperti yang diterjemahkan daripada Bahasa Russia.

"Di manakah kami akan bertarung dan adakah kami masih akan bertarung?

"Bagaimana pula dengan sesi timbangan dan venue pertarungan ini?

"UFC 249, apakah (status) anda?" soalnya.

Kali terakhir Khabib, yang tidak pernah tewas, bertarung ialah ketika menewaskan Dustin Poirier di Abu Dhabi untuk mengekalkan gelarannya dengan rekod tanpa kalah sebanyak 28 pertarungan.