Ratu gimnastik negara, Farah Ann Abdul Hadi, menganggap mengekalkan tahap kesediaan mental yang lebih tinggi adalah perkara yang lebih mencabar ketika menghadapi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ekoran penularan wabak koronavirus.

Seluruh dunia terpaksa menghadapi PKP ekoran penularan wabak covid-10 -- hampir dua juta kes yang disahkan positif dan lebih daripada 126,000 kematian di seluruh dunia.

Ketika ini, Farah Ann yang merupakan antara atlet negara layak ke Sukan Olimpik tetap menjalani latihan di rumah dan dia berpandangan usaha untuk memastikan kekuatan mental di tahap terbaik merupakan cabaran yang paling sukar untuk ditangani.

"Beban untuk mengekal kekuatan mental adalah perkara yang lebih sukar berbanding kekuatan fizikal. Kami perlu menilai semua program latihan dan membentuk program baru bagi menghadapi saingan yang perlu dihadapi pada tahun akan datang," kata Farah Ann menerusi perbualan dalam Radio Gaga.