Persekutuan Sepak Takraw Dunia (ISTAF) memberi amaran keras kepada negara-negara bernaung di bawah badan induk itu setelah mendapati masih terdapat aktiviti penganjuran kejohanan takraw secara kecil-kecilan berlangsung tatkala penularan wabak novel koronavirus (Covid-19) semakin serius.

ISTAF sebelum ini sudah menunda dan menggantung beberapa siri kejohanan sehingga Ogos depan setelah mengambil kira saranan yang dikeluarkan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) susulan pandemik itu.

Biarpun arahan sudah dikeluarkan, badan induk itu mendapat laporan bahawa masih terdapat aktiviti-aktiviti kejohanan berskala kecil tetap dilangsungkan.

Lebih mengecewakan, ia turut membabitkan pengadil yang mempunyai tauliah daripada ISTAF yang dijemput mengadili kejohanan-kejohanan itu.

"Dalam hal yang sama, berbincang dengan Presiden ISTAF, Charouck Arirachakaran, yang berpusat di Thailand, semalam bersetuju untuk memberi amaran sekeras-kerasnya kepada pengadil (yang bernaung di bawah) setiap negara yang menjadi anggota ISTAF supaya tidak mengadili kejohanan sepak takraw di peringkat kampung, negara ataupun di peringkat daerah masing-masing," kata Setiausaha Agung ISTAF, Datuk Abdul Halim Kader, kepada wartawan Nadi Arena, Adam Zamri.

Tidak mahu menamakan negara yang melanggar arahan dikeluarkan ISTAF, Halim tidak menafikan kejohanan-kejohanan tersebut mungkin dianjurkan secara haram tanpa pengetahuan persatuan negara terlibat.

"Inilah yang pegawai yang memimpin sepak takraw masing-masing memberi arahan yang sebaik mungkin kepada pehawai, pemain, jurulatih sepak takraw.

"Kami tidak teraagak-agak untuk mengambil tindakan keras atau digantung terhadap pengadil," katanya.

Berdasarkan rekod, sebanyak 31 buah negara bernaung di ISTAF.