Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk SM Muthu, lega apabila keputusan saringan 48 atlet, jurulatih dan pegawai yang mempunyai kontak rapat dengan jaguh baling tukul besi, Jackie Wong, yang disahkan negatif koronavirus baru (Covid-19) sekali gus boleh meneruskan proses kuarantin di rumah.

Jurulatih baling tukul besi negara, Gu Yuan dan atlet wanita, Grace Wong, antara yang berkongsi kegembiraan apabila disahkan negatif wabak itu.

Mereka antara 48 individu yang menjalani ujian pemeriksaan di Pusat Kesihatan Cheras.

Mereka menjalani proses kuarantin di asrama Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, selepas Jackie dikesan positif Covid-19 dan dirawat di Hospital Sibu, Sarawak.

"Saya gembira kerana mereka telah didapati bebas daripada wabak itu dua hari lalu.

"Saya juga gembira kerana atlet telah mengikuti saranan MSN dan KOM sebagai kerjasama kami untuk mengurangkan virus ini," katanya ketika ditemui wartawan Nadi Arena, Bazly Azmi.

Tambahan pula, jurulatih olahraga negara, M . Balamurugan, yang diminta mengasingkan diri selepas mempunyai kontak rapat dengan Jackie boleh menarik nafas lega kerana bebas daripada jangkitan itu.

Bagaimanapun, Balamurugan tetap mengasingkan dirinya di rumah selepas membuat pemeriksaan saringan di Hospital Manjung meskipun tiada sebarang gejala jangkitan berikutan enggan mengambil risiko.

"Saya menerima e-mel daripada Hospital Manjung tadi yang memaklumkan keputusan saringan adalah negatif.

"Dalam masa sama, saya perlu menjaga kesihatan dan menuruti arahan kerajaan," katanya.