COVID-19: KBS perketat SOP latihan atlet

Oleh Muzaffar Musa 10 Oktober 2020 158
COVID-19: KBS perketat SOP latihan atlet
Sejajar dengan peningkatan kes positif COVID-19 di seluruh negara, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) kini memperketatkan prosedur operasi standard (SOP) latihan atlet bagi membendung penularan wabak berkenaan.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini menjelaskan bahawa kementerian itu telah memutuskan agar semua program sukan yang telah dirancang perlu ditangguhkan sehingga Oktober 2020.

Bagaimanapun, latihan harian atlet yang berada di bawah program latihan sepenuh masa Majlis Sukan Negara (MSN) dan persatuan sukan kebangsaan dikecualikan dengan mematuhi kawalan pergerakan dan pematuhan kepada SOP sepenuhnya.

"Perkembangan semasa mengenai penularan pandemik COVID-19 di negara kita telah menyebabkan sedikit kebimbangan kepada atlet, jurulatih, pegawai sukan, pegawai sokongan, ibu bapa dan juga peminat sukan tanahair secara amnya. Ini sedikit sebanyak telah memberi kesan kepada perjalanan program latihan atlet negara," katanya dalam kenyataan berkenaan.

"Sebagai langkah proaktif, KBS telah memutuskan agar semua program-program di bawah kendalian KBS dan agensi di bawahnya yang telah dirancang perlu ditangguhkan sehingga selepas 31 Oktober 2020 kecuali latihan harian sukan bagi atlet-atlet yang berada di bawah program latihan sepenuh masa MSN dan persatuan sukan kebangsaan dengan mematuhi kawalan pergerakan dan pematuhan kepada SOP sepenuhnya manakala aprogram dan acara sukan bukan anjuran KBS boleh diteruskan mengikut SOP dan arahan semasa MKN dan KKM.

"Justeru itu, saya ingin juga mengingatkan semua atlet negara, jurulatih, pegawai sukan dan semua staf sokongan yang terlibat secara langsung dan tidak langsung agar tidak mengambil mudah SOP yang telah ditetapkan dan senantiasa mengamalkan kawalan kendiri serta mengikuti saranan-saranan yang dikeluarkan oleh pihak kerajaan termasuklah arahan-arahan terkini pihak kementerian," katanya.

Berikut merupakan arahan terkini KBS dalam memperketatkan SOP latihan atlet negara:

1. Atlet, jurulatih dan pegawai yang menjalani latihan sepenuh masa dan menginap di asrama pusat latihan MSN adalah dilarang untuk pulang ke kampung halaman masing-masing sehingga 31 Oktober 2020 kecuali bagi kes kecemasan dan mendapat kebenaran daripada MSN.

2. Semua atlet perlu mematuhi arahan kawalan/larangan pergerakan keluar masuk asrama bermula 12 Oktober (Isnin) sehingga 31 Oktober 2020 (Sabtu). 

Pergerakan atlet hanya terhad kepada asrama dan tempat latihan termasuk
gimnasium atau klinik mengikut jadual masa, penjarakan fizikal dan mengikut SOP yang ditetapkan. 

Setiap atlet juga hanya dibenarkan keluar dari asrama seminggu sekali
untuk ke satu lokasi tetap dengan kebenaran pengurus sukan dan jurulatih masing-masing.

3. Atlet, jurulatih dan pegawai yang telah melakukan pergerakan 0keluar dan masuk ke kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Sabah, Kedah dan Klang atau pun kawasan zon kuning dan zon merah dalam masa seminggu kebelakangan ini adalah dilarang kembali ke asrama pusat latihan MSN sehingga 31 Oktober 2020 dan disarankan terus berada di lokasi masing-masing sehingga dimaklumkan kelak. 

Semakan boleh dilakukan melalui aplikasi My Sejahtera untuk mendapatkan maklumat kawasan yang diwartakan sebagai zon kuning dan merah.

4. Atlet, jurulatih dan pegawai hendaklah mengelakkan diri daripada terlibat dengan program-program berskala besar yang melibatkan orang ramai.

5. Atlet, jurulatih dan pegawai sukan hendaklah mematuhi sepenuhnya SOP yang telah dikuatkuasakan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta SOP sukan dan rekreasi yang telah ditetapkan sebelum ini dan arahan baru yang dikeluarkan dari semasa ke semasa.

6. Atlet, jurulatih dan pegawai diwajibkan untuk memakai pelitup muka (face mask) dan menyaring suhu badan dengan alat pengukur suhu yang telah disediakan di tempat-tempat yang telah ditetapkan seperti di asrama penginapan dan kafetaria atlet. Sekiranya mendapati suhu badan melebihi dari yang sepatutnya, atlet, jurulatih dan pegawai dikehendaki terus melaporkan kepada Pusat Perubatan Sukan, Institut Sukan Negara (ISN) atau klinik yang berdekatan untuk tindakan dan arahan selanjutnya.

7. Sekiranya atlet, jurulatih dan pegawai mengesyaki atau disyaki mempunyai kontak rapat dengan sesiapa yang disahkan positif COVID-19, ataupun sekiranya mempunyai simptom-simptom yang berkaitan, perlulah juga melaporkan diri di Pusat Perubatan Sukan ISN bagi tindakan selanjutnya.

8. Sekiranya atlet, jurulatih dan pegawai sukan diminta untuk menjalani proses kuarantin oleh pihak berkuasa atau pegawai MSN dan ISN, SOP kuarantin yang telah ditetapkan perlu dipatuhi sepenuhnya.

9. Pergerakan pegawai MSN dan ISN bagi menyediakan perkhidmatan sokongan juga akan diasingkan laluan dan sentiasa memastikan penjarakan fizikal semasa berhubung atau berjumpa untuk urusan penting sahaja dan perlu dihadkan masa perjumpaan.

Tambah kenyataan itu, arahan-arahan dan langkah-langkah proaktif yang dilaksanakan adalah bersifat preventif dan bertujuan bagi mengurangkan risiko jangkitan di pusat latihan dan asrama atlet di samping bertujuan agar program latihan harian atlet negara dapat diteruskan seperti biasa dalam suasana yang lebih selamat dan kondusif dengan adaptasi norma baru.

Semua atlet, jurulatih dan pegawai sukan negara adalah disarankan untuk terus mematuhi arahan dan nasihat kesihatan terkini yang sering ditekankan oleh pihak kerajaan dari semasa ke semasa.

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen