Juara dunia, Judd Trump, akan mengetuai barisan bintang setelah snuker disahkan akan kembali di England bulan depan.

Kejohanan Liga Kejuaraan di Milton Keynes akan berlangsung dari 1 hingga 11 Jun depan dengan menampilkan 64 pemain, yang akan diwajibkan untuk mengikuti amalan penjarakan sosial bagi merebut hadiah bernilai £200,000 (RM872.4j).

Jelajah Snuker Dunia (WST) dikendalikan oleh Matchroom Sport yang juga bercita-cita tinggi untuk menganjurkan pertarungan tinju merebut gelaran dunia di Essex.

Seperti kebanyakan sukan di seluruh dunia, snuker telah ditangguhkan sejak Mac lalu ekoran novel koronavirus (Covid-19) tetapi berhasrat mengadakan Kejohanan Dunia pada 31 Julai depan.



WST menjelaskan kesemua pemain dan pegawai dalam Liga Kejuaraan itu akan menjalani ujian saringan pandemik berkenaan sebelum menjejaki venue pertandingan, Marshall Arena, dengan peserta dipesan supaya mengelakkan untuk berjabat tangan.

Pemain tidak akan dibenarkan membawa tetamu ke kejohanan itu selain ketiadaan penonton tetapi ia akan disiarkan di televisyen di United Kingdom.

Trump akan turut disertai barisan lima pemain ternama dunia seperti Neil Robertson dan Mark Allen dengan £30,000 (RM159,774) akan diberikan kepada pemenang bagi setiap perlawanan menerusi format liga sepusingan.

Ketua WST dan Matchroom Sport, Barry Hearn, berkata: "Walaupun kebanyakan sukan lain masih diketepikan, kami sudah siap untuk kembali pada 1 Jun. Ia membawa mesej kepada dunia sukan bahawa snuker di barisan hadapan dalam soal inovasi.

"Kami akan menjadi sukan utama pertama di UK untuk kembali beraksi secara langsung di televisyen.

"Ini bukanlah kebetulan, ia adalah atas kerja keras dan persiapan yang kami lakukan sepanjang musim ini tertangguh bagi memastikan kami bersedia untuk kembali sebaik sahaja ia diluluskan. "

Hearn, bapa kepada penganjur tinju, Eddie Hearn, menambahkan: "Ini adalah tempoh yang mencabar tetapi seperti biasa kami melihat peluang dan bukannya batasan."