Atlet lawan pedang negara, Joshua Koh I Jie, akhirnya boleh menarik nafas lega selepas diuji negatif COVID-19 di sebuah hospital swasta.

Atlet lawan pedang kategori Epee berusia 29 tahun itu yang dalam usaha memburu impian ke Sukan Olimpik baru sahaja kembali ke Malaysia pada 15 Mac lalu selepas menjalani sesi latihan di Itali dan menyertai satu kejohanan di Hungary, dua minggu lalu.

Walaupun Westend Epee Grand Prix dari 6-8 Mac dilangsungkan secara tertutup dengan langkah berjaga-jaga di Budapest, tiga atlet lawan pedang dari China dan tiga lagi dari Korea Selatan kemudiannya diuji positif virus COVID-19.

"Saya rasa sangat lega diuji negatif selepas membuat panggilan ke hospital hari ini. Saya agak yakin akan terima keputusan negatif kerana saya tidak mengalami sebarang gejala dan kami melaksanakan jarak sosial sepanjang kejohanan," katanya ketika dihubungi Bernama.

"Selalunya kami akan berjabat tangan selepas perlawanan tetapi tidak kali ini. Sepanjang tinggal di Itali, kawasan saya tinggal di Pisa sangat tenang dan aman, bukan kawasan berisiko tinggi ketika itu."

Ditanya mengenai impian Olimpiknya, pemenang pingat emas Sukan SEA Jakarta 2011 itu berkata dia perlu menunggu kemaskini terbaru daripada pihak berkuasa berkaitan sebaik pandemik COVID-19 berakhir.

Joshua terdahulu menjalani latihan di Itali sebagai persediaan untuk kelayakan Zon Asia/Oceania di Korea Selatan yang dijadualkan dari 15-16 April ini, dengan bantuan dana sumbangan orang ramai, namun dengan krisis COVID-19, penangguhan sesi kelayakan dan sukan Olimpik nampaknya tidak dapat dielakkan.

"Dalam situasi ini, saya tidak pasti apa perancangannya selepas ini. Saya kena tunggu dan pantau keputusan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) dan Persekutuan Lawan Pedang Antarabangsa (IFF) mengenai Olimpik dan Prosedur kelayakan.

"Saya juga kena tunggu arahan daripada Majlis Sukan Negara dan Institut Sukan Negara mengenai tindakan selanjutnya. Ini kali pertama kita berhadapan dengan situasi sebegini,” tambah atlet kidal yang turut memenangi pingat perak pada Sukan SEA Filipina 2019 dan pingat gangsa pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 dan kini di kedudukan ke-159 dunia itu.

-- BERNAMA