Jaguh baling tukul besi negara, Jackie Wong, disahkan masih menghidap jangkitan Covid-19 selepas hampir sebulan menjalani tempoh pengasingan dan rawatan di Hospital Sibu, Sarawak sejak 16 Mac lalu.

Pemegang rekod kebangsaan dengan catatan balingan sejauh 68.22 meter itu berkata sampel ujian terbaru yang diambil semalam masih menunjukkan keputusan positif.

Menurut Jackie, 27, meskipun disahkan masih positif, tahap kesihatannya bertambah baik dari semasa ke semasa dengan beberapa gejala seperti selesema dan batuk telah berkurangan.

Bagaimanapun, pemenang pingat perak Sukan SEA Filipina 2019 itu berkata penyakit asma yang dihidapi mungkin sedikit mempengaruhi tahap kesihatannya, namun keadaan itu sehingga kini tidak memerlukan dia menggunakan alat bantuan pernafasan.

“Saya tidak dapat pastikan sudah tujuh atau lapan kali ujian dilakukan ke atas saya sejak masuk ke sini (Hospital Sibu). Ujian paling baru adalah semalam dan pada tengah hari tadi, doktor sahkan keputusannya positif.

“Gejala seperti batuk masih ada sehingga kini tapi semakin berkurangan. Setakat ini kesihatan saya semakin meningkat cuma asma saya mungkin sedikit menyukarkan keadaan tetapi ia masih terkawal tanpa memerlukan alat bantuan pernafasan,” katanya.

Jackie merupakan atlet negara pertama disahkan positif Covid-19 selepas dipercayai dijangkiti menerusi bapanya, yang turut disahkan positif dan kini sedang menjalani rawatan di hospital sama.

Dalam pada itu, Jackie berkata dia perlu disahkan negatif dalam dua ujian yang dijalankan secara berturut-turut sebelum dibenarkan keluar daripada hospital.

“Biasanya ujian dilakukan antara empat atau lima hari sekali bergantung kepada keadaan saya dan dengan dua keputusan negatif berturut-turut, baru saya boleh dibenarkan pulang. Jadi saya hanya perlu banyak bersabar dan berdoa untuk dua ujian selepas ini.

“Kekuatan saya untuk terus bersabar dan melawan wabak ini adalah ahli keluarga yang menunggu kepulangan saya di rumah. Saya harap saya dan ayah segera sembuh dan kami boleh sama-sama pulang ke pangkuan keluarga,” katanya.

Terdahulu, keputusan sampel ujian kali ketiga Jackie pada 28 Mac lalu menunjukkan keputusan negatif, namun dia terpaksa melupakan hasrat pulang ke rumah selepas ujian kali keempat pada 30 Mac lalu didapati positif.

-- BERNAMA