Majlis Kriket Antarabangsa (ICC) membantah laporan bahawa Kejohanan Piala Dunia T20 di Australia ditunda kerana wabak koronavirus baru (Covid-19).

Laporan mengatakan kejohanan yang akan bermula 18 Oktober depan itu akan ditunda ke tahun depan.

Semalam, ICC menjelaskan bahawa mereka merancang untuk meneruskan pertandingan itu seperti yang dijadualkan, tetapi dalam masa sama terus mencari pilihan alternatif.

Satu kenyataan dari organisasi itu berkata: "Laporan mengenai penangguhan Piala Dunia T20 ICC 2020 adalah tidak tepat dan perancangan untuk acara berkenaan akan diteruskan sementara kami juga mencari jalan lain berdasarkan keadaan kesihatan awam yang berubah dengan cepat akibat virus Covid-19."

ICC juga mendedahkan belum ada keputusan yang dibuat mengenai pengganti kepada Pengerusi ICC, Shashank Manohar, yang mengundurkan diri bulan ini.

"Lembaga ICC yang bermesyuarat semalam adalah bertujuan membincangkan proses pemilihan pengerusi ICC yang berikutnya," menurut kenyataan itu.

"Tidak ada keputusan muktamad dicapai mengenai proses pemilihan dan ia akan dibahas lebih lanjut dalam pertemuan Majlis ICC berikutnya, esok.

"Pengerusi mengesahkan bahawa dia tidak mahu melanjutkan penggalnya tetapi akan menyokong Majlis ICC bagi memastikan proses peralihan yang lancar."