Bekas juara wushu dunia, Loh Jack Chang, menganggap kerjaya sebagai jurulatih Wilayah Persekutuan dalam Sukan Malaysia (Sukma) Johor lebih mencabar berbanding usaha meraih lima kejuaraan dunia.

Sepanjang krisis novel koronavirus (Covid-19), dia hanya dapat melatih atletnya dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) menerusi internet.

Bekas atlet berumur 33 tahun itu menggunakan pelantar media sosial untuk memastikan anak buahnya faham mengenai teknik latihan ketika PKP.

"Cabaran sebenar saya ialah fizikal kerana saya tidak dapat melihat dengan sepenuhnya pergerakan atlet.

"Kalau ada sebarang kesilapan, kami tidak dapat mengawalnya dengan teliti," katanya kepada wartawan Nadi Arena, Bazly Azmi.

Atlet kelahiran Sarawak itu membimbing Wilayah Persekutuan sejak akhir tahun lalu namun masih belum diuji sepenuhnya menerusi kejohanan tempatan atau antarabangsa.

Berdasarkan reputasi sebagai bekas juara dunia acara taijiquan, dia sepatutnya tidak berdepan masalah namun, Jack Chang, menganggap tugasan sebagai jurulatih jauh lebih sukar.

"Cabaran sebagai jurulatih lebih tinggi. Kalau dulu selaku atlet kami hanya perlu fokus kepada acara dan latihan sendiri sahaja.

"Tetapi kini saya perlu jaga semua atlet tetapi ini saya peluang untuk saya berkongsi kemahiran dan pengetahuan kepada atlet muda."