Skuad berbasikal trek negara di Melbourne, Australia, mengubah suai garaj di kediaman ketua jurulatih, John Beasley, untuk dijadikan tempat latihan ketika Kerajaan Australia mengarahkan perintah berkurung hingga tempoh tiga minggu lagi ekoran wabak novel koronavirus (Covid-19).

Idea dan inovasi penting untuk memastikan program latihan dapat diteruskan.

Itu yang dilakukan skuad berbasikal trek negara di Melbourne apabila membawa masuk pelbagai peralatan di garaj kediaman Beasley untuk meneruskan persiapan menjelang Sukan Olimpik Tokyo 2021.

Walaupun tidak selesa namun sekurang-kurangnya Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Azizulhasni Awang masih dapat meneruskan program latihan sepanjang tempoh berkurung di Melbourne.

"Kami tidak dibenarkan menggunakan kemudahan latihan seperti gimnasium dan velodrom.

"Jurulatih mengambil inisiatif dengan meminjam kelengkapan daripada rakannya dan membina gimnasium di garaj.




"Tetapi untuk aktiviti kayuhan kami berlatih di rumah," kata Shah Firdaus kepada laporan wartawan Nadi Arena, Bazly Azmi.

Ketika ini, hanya Firdaus Shah dan Azizul yang masih meneruskan program latihan di Melbourne.

Mohd Fadhil Zonis dan Anis Amira Rosidi pula akan menyertai mereka selepas mendapat lampu hijau daripada Kerajaan Malaysia serta Australia.