Jaguh trek negara, Azizulhasni Awang, menolak cadangan untuk membawanya pulang ke tanah air bagi menjalani program latihan Road to Tokyo (RTT) bersama rakan atlet kebangsaan, 1 Jun depan.

Kerajaan Australia mula mengendurkan perintah berkurung berikutan penularan novel koronavirus (Covid-19), sekali gus membuka ruang untuknya kembali berlatih.

Untuk rekod, sebanyak 6948 kes positif dicatatkan di Australia dengan 6179 kes sembuh manakala 97 kematian.



"Kalau diberi pilihan, saya lebih cenderung kekal di Melbourne kerana keadaan kes Covid-19 di sini terkawal.

"Untuk latihan, tiada apa-apa masalah. Kami lebih fokus kepada latihan di gimnasium, kami juga menggunakan latihan simulasi berkayuh, cuma tidak dapat berlatih di velodrom.

"Esok, kami akan memulakan latihan peringkat pertama terlebih dahulu kerana kami sudah dibenarkan keluar untuk membuat perjumpaan yang dihadkan kepada 10 orang," katanya kepada wartawan Nadi Arena, Bazly Azmi, hari ini.

Program latihan itu, yang diperkenalkan pada 2006 dan di bawah pemantauan John Beasley, menyaksikan empat atlet mendapat tumpuan khusus dalam misi memburu pingat emas pertama Sukan Olimpik.