Atlet di bawah Program Road to Tokyo (RTT) akan diberikan keutamaan untuk memulakan latihan seandainya cadangan garis panduan yang diutarakan kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam satu mesyuarat bersama pemegang taruh sukan negara hari ini diluluskan kerajaan.

Menerusi satu perbualan video bersama wartawan Nadi Arena, Halizah Hamzah, Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Seri Norza Zakaria, berkongsi intipati mesyuarat berkenaan.

"Apa yang telah dibincangkan bersama Yang Berhormat Menteri (Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican) hari ini adalah mengadakan asas tugas (task base) dengan persatuan-persatuan sukan yang mempunyai atlet yang telah layak dan akan melayakkan diri ke Sukan Olimpik (Tokyo tahun depan).

"Daripada segi itu, keutamaannya adalah memberikan latihan kepada atlet yang sudah layak dan yang kedua adalah memberi peluang berlatih kepada atlet yang dijangka akan memasuki proses kelayakan.

"Jadi, kita perlu jelas mengenai perkara ini. Saya boleh maklumkan bahawa tiga sukan sudah mendapatkan tempoh kelayakan yang sudah dikemaskini, iaitu golf, memanah dan pelayaran.

"Sukan-sukan yang lain pula masih menunggu maklum balas daripada badan sukan antarabangsa," katanya.

Majlis Keselamatan Negara (MKN) masih melarang sebarang aktiviti sukan berkumpulan seperti bola sepak dan ragbi.

Mengulas mengenai perkara itu, Norza menambah: "Sukan berpasukan tentu sahaja akan dibincangkan tetapi saya rasa, kita harus menentukan bahawa keadaan dan ancaman Covid-19 di negara ini akan lebih baik.

"Dan selepas itu mungkin KBS dan MSN (Majlis Sukan Negara) akan mengetengahkan kembali perkara itu kepada MKN."