Bekas penerjun negara, Ahmad Amsyar Azman, tidak pernah berputus asa dalam perebutan tempat kembali membarisi skuad kebangsaan selepas kali terakhir mewakili Malaysia dalam Sukan Asia 2018 di Jakarta.

Selepas kembali daripada persaraan, buat masa ini atlet dari Perlis itu masih menantikan maklum balas positif daripada Majlis Sukan Negara (MSN) dan Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) mengenai hasratnya kembali ke pangkuan skuad kebangsaan.

Amsyar sepatutnya menyertai kejohanan Terbuka Indonesia yang dijadual berlangsung ketika ini dengan mewakili pasukan Selangor setelah dilantik selaku jurulatih negeri itu, tetapi dia terpaksa membatalkan hasrat berkenaan ekoran isu wabak koronavirus baru (Covid-19).

"Dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), saya hanya membuat latihan fizikal di rumah sahaja.

"Saya sepatutnya dihantar Selangor untuk menyertai Terbuka Indonesia," katanya kepada wartawan Nadi Arena, Norhaliza Hamzah, hari ini.

Baginya, adalah mustahak untuk mendapatkan perhatian kedua-dua pihak tersebut sekiranya dia ingin menyertai kejohanan atau temasya lebih besar.

Bahkan, dia perlu menyerlah untuk membuktikan penglibatannya penting dalam program kendalian MSN dan ASUM itu bagi misi merebut slot ke Sukan Olimpik Tokyo 2021.

"Kalau untuk menyertai kejohanan bertaraf Grand Prix (GP) mahupun terbuka secara solo tidak jadi masalah.

"Tetapi untuk menyertai kejohanan rasmi seperti Sukan SEA, Sukan Asia, Kejohanan Dunia dan Sukan Olimpik, itu semua memerlukan sokongan MSN.

"Lagipun itulah sasaran saya."