Peninju profesional negara, Adli Hafidz Mohd Pauzi, sanggup berdepan risiko dalam melaksanakan peranan di barisan hadapan sebagai pegawai kastam sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) walaupun berdepan risiko digantung lesen setahun jika positif koronavius baru (Covid-19).

Majlis Tinju Dunia (WBC) mengenakan peraturan ketat jika seseorang peninju itu mengidap penyakit berjangkit apabila lesen mereka boleh digantung di antara enam hingga 12 bulan.

Begitupun, Adli sanggup mengambil risiko demi keselamatan rakyat Malaysia walaupun tahun ini dia menyasarkan tali pinggang super middleweight Kejuaraan WBC Asia.

"Apabila dalam situasi begini, saya dapat rasakan bahawa pengorbanan adalah (aspek) paling penting.

"Demi negara, saya sanggup berkorban apa sahaja.

"Sebagai atlet, saya pun sudah diajar untuk patuh dengan arahan dan ikut (program) yang diberikan," katanya, yang sudah berkhidmat sebagai penjawat awam sejak 2015, kepada wartawan Nadi Arena, Bazly Azmi.

Begitupun, Adli berharap pertarungan itu akan dijadualkan semula sebaik keadaan telah pulih.

"Saya sepatutnya akan berlawan dalam Kejuaraan WBC Asia di Singapura pada 14 Jun depan.

"Oleh kerana keadaan sekarang tidak mengizinkan, pertarungan itu ditangguhkan ke masa yang lebih sesuai.

"Statusnya belum pasti. Apabila keadaan kembali terkawal dan pulih, saya akan berentap untuk merebut kejuaraan.

"Dalam fasa persiapan ini, saya kena sentiasa bersedia."