Selepas 13 kali percubaan, pelari tempatan, Safrey Sumping, akhirnya berjaya meraih kejuaraan sulungnya dalam Climbathon Antarabangsa Gunung Kinabalu dengan memenangi kategori elit lelaki, hari ini.

Kejohanan yang berlangsung di Kundansang itu menyaksikan Safrey menghabiskan lariannya dengan catatan masa 2 jam 21 minit 33s untuk muncul juara walaupun sebelum itu diberi saingan sengit oleh rakan senegaranya, Wincentbert Latius, yang mencatatkan masa 2:22:58s di tempat kedua.

"Saya sangat gembira kerana selepas 13 kali menyertai kejohanan ini, akhirnya saya muncul juara.

"Pada mulanya, saya kurang yakin akan menang kerana latihan yang kurang...saya hanya berlatih di gunung sebanyak empat kali sebelum ini," katanya.

Pencapaian terbaik malim gunung yang berasal dari Kampung Hibaan, Ranau, itu ialah mendapat tempat ketiga pada tahun 2006 dan 2013.

Safrey, 33, berkata walaupun dinobat sebagai juara, beliau sedikit kecewa kerana tidak sampai ke puncak Gunung Kinabalu.

"Perlumbaan ini sepatutnya sehingga ke puncak (Gunung Kinabalu), namun telah dipendekkan sehingga ke Laban Rata (Kilometer 10) kerana faktor cuaca yang tidak mengizinkan," katanya.

Sementara itu, nasib tidak menyebelahi pelari Kenya, John Kipkorir Rutto, apabila terjatuh kira-kira 5 kilometer dari garisan penamat, namun berjaya menghabiskan larian di tempat ketiga dengan catatan masa 2:28:23s.

Pelari Filipina, Sandi Menchi Catlona Abahan, muncul juara kategori elit wanita dengan catatan masa 2:58:48s.

Jepchirchir Kimeli dari Kenya muncul pemenang kedua dengan catatan masa 3:11:42s manakala pelari negara, Tahira Najmunisaa Muhammad, di tempat ketiga dengan masa 3:22:22s.