Prestasi buruk dalam Sukan Asia Indonesia 2018 menyaksikan bekas setiausaha agung Persekutuan Karate-Do Malaysia (MAKAF), Datuk Clement Soo, bakal tampil mencabar presiden badan itu, Tan Sri Mohd Ali Rustam, dalam mesyuarat agung tahunan (AGM), Ahad ini.

Calon pencabar AGM MAKAF itu mendakwa perubahan perlu dilakukan selepas Malaysia hanya meraih satu pingat gangsa di Indonesia, bulan lalu.

Ia prestasi terburuk sejak sukan itu dipertandingkan dalam temasya 1994 di Hiroshima, Jepun.

Justeru, perubahan kepimpinan MAKAF perlu dilakukan, terutama untuk membantu atlet negara layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

"Negara seperti Macau dan Hong Kong lebih baik berbanding kami. Sudah tiba masa untuk kami berubah.

"Berdasarkan pengalaman saya bersama karate dalam tempoh 52 tahun serta 20 tahun menjadi setiausaha agung, kami tidak pernah gagal memenuhi tuntutan Majlis Olimpik Malaysia (MOM)," kata Clement.

Ali memegang jawatan presiden MAKAF sejak 2009.

Seramai 22 ahli gabungan MAKAF akan mengundi Ahad ini selepas Pesuruhjaya Sukan memberi lampu hijau untuk Persatuan Karate-Do Pahang (KARAPAH) turut serta.

Hampir semua jawatan menyaksikan pertembungan, termasuk timbalan presiden satu dan dua.