"Cikgu Poad sudah mula sedar," demikian pengesahan Pengetua Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI), Suhaimi Sun Abdullah, mengenai keadaan terkini jurulatih pecut negara, Mohd Poad Md Kassim.

"Dia boleh angkat tangan dan kaki dengan tinggi. Alhamdullillah, dia bertambah baik daripada hari dia dimasukkan ke hospital Ahad lalu. Nampak ada perubahan apabila dimasukkan ke ICU (Unit Rawatan Rapi).

"Dia mula buka mata. Isterinya kata dia boleh senyum dan mengangkat kening. Hari ini pun ramai orang yang datang melawatnya," ujarnya ketika dihubungi hari ini.

Poad, 48, sebelum ini dilaporkan dalam keadaan kritikal tetapi stabil selepas dimasukkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru, Ahad lalu berikutan jangkitan kuman di paru-paru.

Perkembangan itu sudah pasti akan memberi sedikit kelegaan kepada kesemua atlet olahraga SSTMI yang sedang menjalani program latihan di Cameron Highlands.

Mereka sebelum ini termasuk anak didiknya, Khairul Hafiz Jantan dan Badrul Hisyam Abdul Manap, melahirkan kerisauan terhadap kesihatan Poad dan berharap jurulatih itu segera sembuh dan kembali melatih mereka.