Chun Yong tuntut aksi mantap di Vietnam

Oleh Penulis Jemputan 18 Oktober 2017 292
Chun Yong tuntut aksi mantap di Vietnam
Jurulatih skuad futsal negara, Chiew Chun Yong, masih menuntut aksi ampuh daripada anak buahnya biarpun Malaysia mempamerkan peningkatan dalam ranking futsal dunia di tangga ke-59 kini, antara ranking tertinggi dalam sejarah futsal negara. 

Skuad futsal negara melonjak 15 anak tangga daripada kedudukan nombor 74 kepada 59.

Ia hadir selepas anak buah Chung Yong menampilkan aksi memuaskan dalam Kejohanan AFF 2016, Januari lalu, dan Sukan SEA Kuala Lumpur pada Ogos.

Pencapaian ini tampak menyelamatkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) setelah ranking dunia bola sepak negara merudum teruk ketika ini.

"Saya sangat berpuas hati dengan ranking terbaru Malaysia tetapi kami mahu terus mempamerkan aksi cemerlang dalam saingan Kejohanan AFF di Vietnam dan mara ke separuh akhir bagi membuka laluan layak ke Kejohanan AFC tahun depan," katanya.

Skuad futsal negara pulang ke tanah air dari Doha hari ini dengan meraih keputusan memberangsangkan dalam dua aksi persahabatan menentang Qatar.

Seri 1-1 dalam perlawanan pertama, skuad negara mencatat kemenangan 5-4 dalam perlawanan kedua, sekaligus menghadirkan keyakinan untuk menghadapi Kejohanan AFF di Vietnam hujung bulan ini.

 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen