Jurulatih futsal negara, Chiew Chun Yong, menyambut baik hasrat Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang dikhabarkan mahu mengadakan Liga Futsal Kebangsaan (LFK) pada Februari depan selepas tiada khabar berita mengenai perkara itu sebelum ini.

Sebelum ini, penganjuran saingan LFK pernah berdepan masalah untuk diadakan. Pada 2016, FAM mengambil keputusan untuk membatalkan penganjuarannya gara-gara masalah penajaan.

Namun, ia kembali diadakan pada Februari lalu menerusi saingan liga yang berlangsung selama empat bulan.

FAM, yang kini di bawah kepimpinan Tunku Ismail Sultan Ibrahim, tampak lebih serius mengenai perkara itu.

Difahamkan, mereka sudah melakukan perancangan untuk mewujudkan satu liga yang lebih kompetitif untuk musim 2018.

Meskipun ia belum ditetapkan secara rasmi oleh FAM, beberapa pasukan sudah mula membuat persiapan untuk menghadapi segala kemungkinan mengenai LFK 2018.

"Saya menjangkakan penganjuran LFK 2018 akan bermula pada penghujung Februari. Saya menerima baik penganjuran ini dan berharap banyak pasukan yang bakal menyertai saingan kali ini," kata Chun Yong.

Difahamkan, ia akan diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Futsal dan Bolasepak Pantai FAM, esok.

Sememangnya, LFK wajar diadakan dengan lebih gah selepas skuad futsal negara berjaya menyerlahkan kemampuan mereka di pentas Asia.