Skuad futsal negara sudah melupakan memori duka Kejohanan Futsal AFF tahun lalu sambil mahu menjadikannya sebagai motivasi utama dalam memburu kejuaraan sulung dalam Kejohanan AFF 2018 Indonesia.

Kekalahan 3-4 ke kepada Thailand dalam masa tambahan perlawanan akhir walaupun mendahului 3-1 sememangnya satu pengalaman pahit kepada semua pemain.

Menurut jurulatih, Chiew Chun Yong, beliau tidak mahu mereka terkenangkan peristiwa itu, sebaliknya hadir ke Indonesia dengan semangat berbeza.

Paling penting, pemain negara perlu ada kepercayaan dalam diri sendiri bahawa bukan sesuatu yang mustahil untuk mereka meleburkan penguasaan Thailand kali ini.

"Kami mahu mempamerkan persembahan yang lebih baik tahun ini, sekali gus memadam kegagalan Kejohanan AFF 2017," kata Chun Yong.

Skuad futsal negara akan berlepas ke Bangkok, Khamis depan bagi menyertai Kejohanan Thailand Fives yang turut disertai England, Uzbekistan dan Thailand.

"Ini adalah pertama kali Thailand menjemput kami beraksi dalam kejohanan ini dan ia adalah peluang saya menguji barisan pemain serta strategi yang telah diaturkan."