Chun Yong mahu skuad negara waspada ancaman Indonesia, Myanmar

Oleh Staff Writer 13 Oktober 2016 2
Chun Yong mahu skuad negara waspada ancaman Indonesia, Myanmar
Hanya beberapa minggu sebelum Kejohanan Futsal AFF 2016 membuka tirai di Bangkok, jurulatih futsal negara, Chiew Chun Yong, menyifatkan Indonesia dan Myanmar sebagai cabaran utama mereka dalam Kumpulan B.

Meskipun tidak beraksi dalam edisi lalu ekoran penggantungan Persatuan Bola Sepak Seluruh Indonesia (PSSI) oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Indonesia masih dianggap seteru terkuat.

Dua edisi terdahulu, 2013 dan 2014, menyaksikan Indonesia menamatkan saingan di tempat keempat.

Dalam pada itu, Myanmar telah menunjukkan peningkatan dan sudah mempunyai kebolehan yang setanding dengan pemain Malaysia.

Berdasarkan itu, Chun Yong menyifatkan kedua-dua pasukan itu mampu meranapkan impian Malaysia untuk ke peringkat separuh akhir AFF.

"Negara mereka juga sangat aktif dalam melakukan latihan yang mantap berbanding negara lain. Mereka merupakan pasukan yang melakukan persediaan yang bagus di dalam peringkat kumpulan. 

"Dalam masa yang sama, Myanmar juga merupakan pesaing kami. Jadi, kami perlu berhati-hati dan saya berasakan Myanmar mempunyai kekuatan tersendiri," jelas Chun Yong.

Empat perlawanan persahabatan sudah dijalankan bersama kelab tempatan dan Chun Yong berpuas hati dengan prestasi pemain yang sudah menunjukkan tanda-tanda positif.

Bagaimanapun, Chun Yong tetap akan menggugurkan tiga lagi pemain bagi melengkapkan senarai 14 pemain yang akan dibawa ke Bangkok.

"Kita menang tiga daripada empat perlawanan dan mencatatkan satu keputusan seri, namun keputusan itu bukanlah perkara yang penting bagi saya. 

"Apa yang saya pentingkan adalah tahap fokus mereka dan bagaimana mereka bermain."

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen