Jurulatih pasukan futsal negara, Chew Chun Yong, mencabar pasukannya untuk membuktikan kemampuan dalam Kejohanan Futsal AFC 2018 dan Kejohanan Futsal AFF 2018 bagi mencuri satu daripada lima slot Asia ke Piala Dunia 2020.

Keyakinan Chun Yong tertumpu kepada peningatan drastik Malaysia yang sekadar tewas tipis 4-3 kepada Thailand dalam perlawanan akhir Kejohanan AFF di Vietnam, Jumaat lalu.

Walaupun tewas, Chun Yong melihat kebangkitan anak buahnya yang berjaya mencipta panik Thailand sebagai satu pencapaian kali pertama jika merujuk kepada rekod pertembungan terdahulu dengan pasukan Gajah Putih itu.

Sasarannya adalah mancari ruang untuk Malaysia muncul dalam Piala Dunia pada 2020, namun segala-galanya perlu dibuktikan secara berperingkat dan ujian seterusnya dalam Kejohanan Futsal AFC pada Febuari tahun depan.

"Kami boleh lihat kami semakin meningkat, rentak semakin meningkat. Walaupun banyak isyarat positif, ia masih tidak cukup bagi saya.

"Saya melihat kepada peningkatan cepat bagi kami mempersiapkan diri ke Kejohanan AFC," katanya.

Bagaimanapun, tetap ada kebimbangan daripada segi pilihan pemain ekoran tiadanya saingan liga domestik ketika ini, sekali gus menyukarkan Malaysia mencari pemain baru yang lebih bertenaga.

"Ia membimbangkan saya. Sejak kita tiada liga atau pertandingan, saya mahu mendapatkan kebenaran untuk kami terus menjalani latihan. Ia bagi mengekalkan prestasi pemain.

"Satu lagi masalah saya adalah pemilihan pemain yang terhad," katanya.