Chun Yong mahu menang aksi pembukaan Kejohanan AFF Futsal 2016

Oleh Ammar Hakim 25 Disember 2016 0
Chun Yong mahu menang aksi pembukaan Kejohanan AFF Futsal 2016

Pasukan futsal lelaki negara mengimpikan kemenangan sulung berdepan Indonesia dalam aksi pembukaan Kejohanan Futsal AFF 2016 yang akan berlangsung di Bangkok, Thailand pada Januari depan.

Ketua jurulatih, Chiew Chun Yong, menjelaskan mereka tidak memandang rendah kemampuan Indonesia berikutan pasukan itu digantung penyertaan selama setahun di pentas antarabangsa.

Beliau menyifatkan liga futsal tempatan Indonesia masih berjalan seperti biasa walaupun tidak bermain di luar negara.

Anak buah Chun Yong akan berdepan Indonesia dalam perlawanan pembukaan Kumpulan B yang dijadualkan pada 23 Januari.

"Sudah pasti Indonesia merupakan pasukan pilihan dan mereka meletakkan sasaran untuk menerajui kumpulan, malah mereka juga mahu muncul sebagai juara kejohanan.

"Jadi, Indonesia akan menghantar pasukan terbaik, iaitu skuad senior.

"Liga futsal di sana berjalan seperti biasa dengan pemain turut berlatih biarpun digantung di pentas antarabangsa oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA)," jelas Chun Yong.

Skuad futsal lelaki negara akan berlepas seminggu lebih awal bagi menghadapi tiga aksi persahabatan.

"Kami akan berlepas seminggu lebih awal daripada tarikh kejohanan bagi menjalani perlawanan persahabatan dengan tiga pasukan di sana nanti."

Dua daripadanya berdepan kelab Thailand, Chonburi dan Nonthaburi, serta skuad kebangsaan Thailand.

Selain Indonesia, skuad futsal Malaysia berdepan cabaran Laos dan Myanmar dalam saingan Kumpulan B terlebih dahulu, yang berlangsung dari 23 hingga 25 Januari ini.

 

Tentang Penulis

Ammar Hakim

Komen