Jurulatih skuad futsal negara, Chiew Chun Yong, menggugurkan dua pemain kurang seminggu menjelang Kejohanan Futsal AFF 2018 berikutan aksi hambar pasukannya dalam Kejohanan Jemputan PTT Thailand Five baru-baru ini.

Skuad futsal negara mengharungi tiga perlawanan di Thailand sebagai persiapan untuk Kejohanan Futsal AFF di Yogyakarta bermula Isnin depan.

Namun, anak buah Chun Yong tewas ketiga-tiga perlawanan, iaitu 0-5 kepada Uzbekistan, 1-7 kepada Thailand dan 2-3 kepada England.

Berang aksi hambar pasukannya, Chun Yong melakukan rombakan dengan memanggil dua pemain baru setelah menggugurkan Saiful Aula dan Akmarulnizam Idris.

"Dua perubahan dalam pasukan berbanding kejohanan terdahulu. Dua pemain yang digugurkan dan akan diumumkan tidak lama lagi," kata Chun Yong.

Fokus utama Chun Yong untuk baki latihan skuad negara kini adalah memperbaiki segala kelemahan, terutama aspek bertahan dan penyudah.

Bekas pemain negara ini mengakui ranjau menanti pasukannya kali ini walaupun tampil dengan reputasi hebat selaku naib juara kejohanan.

"Tiada alasan untuk Malaysia tidak mempamerkan aksi cemerlang dan sekurang-kurangnya mara ke separuh akhir."