Ketua jurulatih skuad futsal lelaki negara, Chiew Chun Yong, berperang dengan masa dalam memperbaiki kelemahan pasukan menjelang Kejohanan AFF 2018 bulan depan selepas pasukannya memaparkan aksi hambar dalam kejohanan jemputan Thailand Five di Bangkok, Thailand, minggu lalu.

Kejohanan jemputan yang turut disertai Thailand, Uzbekistan dan England itu menyaksikan Malaysia tewas dalam ketiga-tiga perlawanan.

Ia bukan satu keputusan yang mampu memuaskan hati Chun Yong tatkala saingan AFF di Jogjakarta, Indonesia, hanya berbaki kurang daripada 10 hari lagi.

Justeru, dia mahu memastikan setiap pemain mengambil serius kelemahan dalam aspek kecergasan sebelum memutuskan 14 pemain terbaik ke Indonesia.

"Berdasarkan penilaian saya dalam tiga perlawanan terdahulu, masih banyak kelemahan perlu diperbaiki, terutama dalam kekuatan mental dan fizikal.

"Kami perlu memperbaikinya secepat mungkin memandangkan Kejohanan AFF yang semakin hampir," kata Chun Yong.

Skuad negara bakal berdepan dua lagi aksi persahabatan di tanah air minggu depan sebagai persiapan akhir sebelum berlepas ke Jogjakarta.

"Kami mempunyai dua perlawanan selepas ini dan salah satunya berdepan pasukan SS Five.

"Kami mengharapkan mereka dapat memberi cabaran yang baik supaya saya dapat memperbaiki kelemahan yang ada ketika kejohanan lalu," tambahnya.