Chun Yong berdepan cabaran kekalkan prestasi pemain

Oleh Staff Writer 26 Oktober 2016 7
Chun Yong berdepan cabaran kekalkan prestasi pemain
Ketua jurulatih futsal kebangsaan, Chiew Chun Yong, menyifatkan tugas barunya itu makin teruji dengan misi memastikan prestasi pemain kekal konsisten apabila mereka tidak terlibat dalam mana-mana kejohanan hingga hujung tahun ini.

Chun Yong, yang menggalas tanggungjawab sebagai jurulatih baru skuad futsal negara sejak bulan lalu, menganggap tugas yang digalas makin mencabar setelah Kejohanan Piala AFF yang sepatutnya berlangsung bulan depan dibatalkan.

Ini kerana bukan mudah untuk dia mengekalkan aksi konsisten anak buahnya tanpa terlibat dalam mana-mana kejohanan kompetitif, apatah lagi mereka pada awalnya telah bersedia sepenuhnya untuk beraksi di pentas Piala AFF.

Bagi Chun Yong, hanya perlawanan berstatus antarabangsa yang benar-benar mampu menguji tahap prestasi pemainnya.

"Jika difikir dari sudut positif, sekurang-kurangnya saya mempunyai lebih banyak masa untuk mempersiapkan pasukan dan mencari lebih ramai pemain baru yang layak untuk mewakili skuad kebangsaan.

"Jika kejohanan tersebut berlangsung ketika ini, kami hanya melakukan persiapan selama tiga minggu.

"Sama ada persiapan selama tiga minggu atau kejohanan berlangsung pada tahun hadapan, kami telah bersedia untuk menyertai kejohanan tersebut," ujar Chun Yong.

Meskipun masih belum diputuskan adakah Thailand akan menganjurkan kembali Piala AFF pada Januari 2017, Chun Yong mengingatkan pasukannya untuk sentiasa bersedia dan fokus kepada latihan.

"Saya telah memperkenalkan sistem dan taktikal latihan yang baru kepada pemain-pemain, saya dapat saksikan ramai pemain yang mempunyai kesukaran untuk menerimanya.

"Untuk berlaku adil kepada mereka, mereka memerlukan lebih masa dan menyertai pertandingan untuk mempraktikkannya.

"Buat masa ini, saya berasa mereka telah mula menyesuaikan diri dengan pembaharuan yang saya lakukan, cuma mereka perlu digilap lagi dan menyertai lebih banyak pertandingan."

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen