Hasrat bintang tenis remaja negara, Christian Didier Chin, untuk mencetuskan sensasi beraksi dalam acara beregu Sirkit Profesional F2 Malaysia tidak kesampaian apabila kecundang dalam separuh akhir, hari ini.

Bagi sirkit ini, Christian bergandingan dengan prospek muda dari India, S. Nitin Kumar, yang merupakan seterunya dalam acara perseorangan di peringkat remaja.

Sepanjang saingan di Pusat Tenis Kebangsaan, mereka mempamerkan prestasi konsisten untuk mara ke separuh akhir.

Bagaimanapun, pengalaman di peringkat senior yang dimiliki Wilfredo Gonzalez dan Francesco Vilardo nyata cabaran terlalu sukar apabila tewas 6-3, disusuli keputusan mudah 6-0 dalam set berikutnya.

"Ini adalah kali pertama Christian bermain dalam sirkit profesional. Ini adalah minggu kedua selepas minggu pertama di Kuching.

"Dalam acara perseorangan, dia kurang memberangsangkan apabila tewas dalam pusingan kelayakan dan acara beregu pula dia tewas dalam pusingan pertama.

"Ini minggu kedua dia berpasangan dengan pemain dari India dan dapat layak ke separuh akhir untuk meraih mata profesional walaupun bermain dalam saingan sirkit. Ia pencapaian yang baik," kata ketua jurulatih negara, Muliyadi Jamal.

Bagaimanapun, Muliyadi menegaskan kekalahan itu ditambah dengan elemen beraksi dalam saingan beregu akan membantu pembentukan Christian sebagai pemain perseorangan.

"Dalam beregu, ia menjurus kepada kekuatan dan kepantasan. Jadi, ia akan membantunya dalam permainannya dalam acara perseorangan. Dia akan membuat persiapan bagi menghadapi beberapa kejohanan, termasuk dalam Grand Slam," katanya lagi.

Pemain kelahiran Sabah berusia 17 tahun itu cemerlang tahun ini dengan memenangi beberapa kejohanan, terutama di peringkat antarabangsa.

Paling mencuri tumpuan apabila dia mara ke final Kejohanan Remaja Asia -- satu pencapaian bersejarah dalam tenis negara.