Selepas mengakhiri tahun ini penuh cemerlang dengan dinobatkan sebagai pemenang anugerah Olimpian Terbaik 2019, atlet wushu, Loh Choon How, membuat kejutan dengan mengumumkan persaraannya.

Choon How, 26, yang mencatatkan pencapaian mengagumkan tahun ini dengan memenangi pingat perak dalam Kejohanan Dunia dan dua emas Sukan SEA Ke-30 di Filipina berpendapat sudah tiba masanya untuk berundur selepas bergelut dengan kecederaan demi kecederaan.

Bagaimanapun, atlet kelahiran Kuala Lumpur itu berkata keputusannya untuk bersara tertakluk kepada kelulusan Persekutuan Wushu Malaysia (WFM).

Dalam beberapa tahun ini, dia mengalami pelbagai kecederaan daripada ligamen medial collateral terkoyak, meniscus dan otot belakang sehinggakan tulang belakangnya bengkok.

Choon How turut bergelut dengan kesakitan semasa memenangi dua emas dalam Sukan SEA baru-baru ini.

"Keadaan saya amat teruk, malah sekarang saya tidak boleh berdiri lama. Selepas 15 minit, saya perlu duduk dan rehat. Semua kecederaan ini dialami sepanjang saya menjalani latihan dan pertandingan selama bertahun-tahun.

"Jadi, saya mempertimbangkan untuk fokus kepada pemulihan dan berehat tetapi walaupun saya bersara, saya tidak akan berhenti daripada sukan wushu.

"Saya akan meneruskan kerjaya dalam kejurulatihan dan membantu atlet lain dengan ilmu pengetahuan yang ada.

"Sudah pasti prestasi tahun ini merupakan pencapaian terbaik dalam kerjaya sukan saya," katanya selepas dinobatkan sebagai Olimpian Terbaik 2019 bagi kategori lelaki dalam Majlis Anugerah dan Makan Malam Tahunan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Ke-26 di Kuala Lumpur, malam tadi.

Choon How memenangi emas pertama buat Malaysia dalam Sukan SEA Filipina dalam acara taijiquan pada 1 Disember lalu sebelum meraih emas kedua dalam acara taijijian keesokannya.

Dia berkata anugerah Olimpian Terbaik 2019 amat bermakna buat dirinya dan wushu kerana dia merupakan atlet kedua sukan itu untuk menerima penghormatan itu sejak 1993 selepas dimenangi Ho Ro Bin pada 2002.

Dalam majlis anugerah itu, ratu gimnastik negara, Farah Ann Abd Hadi, dinobatkan sebagai Olimpian Terbaik 2019 bagi kategori wanita.

Kedua-dua atlet masing-masing menerima wang tunai RM10,000 dan pingat emas khas tajaan Syarikat Coca-Cola yang disampaikan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Sementara itu, Farah Ann yang juga cemerlang dengan melayakkan diri ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 dan memenangi tiga emas Sukan SEA di Manila dalam acara wanita all-around, senaman lantai dan palang bertingkat menyifatkan tahun ini sebagai amat menggembirakannya.

"Saya sudah rasa amat bersyukur apabila dicalonkan untuk anugerah ini. Memenanginya sudah pasti amat bermakna.

"Bagi saya, semua pahit manis yang dialami sepanjang tahun ini berbaloi, mendorong saya untuk membuat persediaan daripada segi fizikal dan mental kerana saya tahu semua yang berlaku, yang menyenangkan dan kurang menyenangkan, ada rahmat yang tersembunyi.

"Saya tidak layak ke Olimpik Rio pada 2016 dengan margin tipis 0.1 disebabkan kesilapan, tidak berjaya meraih emas dalam acara palang bertingkat dalam Sukan SEA 2015 dan 2017, dan hanya memenanginya tahun ini selepas sekian lama berusaha keras,” kata gimnas berusia 25 tahun itu.

Kali terakhir atlet gimnas artistik Malaysia mengambil bahagian dalam acara sukan terbesar itu ialah ketika Au Li Yen layak ke Olimpik Sydney 2000.

-- BERNAMA