Dalam kesediaan menanti panggilan daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Lee Chong Wei kini giat memantapkan persiapan peribadi sebagai chef-de-mission (CDM) negara untuk Sukan Olimpik Tokyo.

Ini ketika peminat badminton tanah air turut menginginkannya untuk memimpin BAM pada satu hari kelak.

Penundaan temasya itu ke Julai 2021 bermakna bekas jaguh dunia berusia 38 tahun berkenaan mempunyai masa tambahan untuk memastikan dia tidak kekok untuk membawa nama Malaysia sebagai orang nombor satu kontinjen Malaysia.

Menerusi perkongsian terkini, Chong Wei menegaskan betapa tugasan sebagai CDM satu yang mendebarkan dan apakah persiapan yang sedang dibuatnya bagi mengatasi cabaran yang sedang dihadapi.

"Saya masih belum dapat sebarang berita lagi, saya perlu berbincang dulu (dengan pihak yang berkenaan).

"Lagipun saya baru bersara jadi banyak perkara yang perlu saya belajar pada masa akan datang.



"Saya perlu banyak bertanya kepada Datuk Seri (Norza Zakaria) memandangkan kejayaan pengalamannya dalam Sukan Asia termasuk bekas CDM negara yang lain dalam usaha menangani atlet-atlet.

"Saya sedar penyertaaan atlet negara tidak ramai dalam Sukan Olimpik tetapi ia tahap yang berbeza.

"Ini juga satu jawatan yang berbeza buat saya," katanya dalam satu temu bual menerusi video bersama wakil Nadi Arena, Shahrazad Sani.