Chong Wei: Kilauan emas tetap bernyala 

Oleh Shaiful Shamsudin 26 Mac 2020 86
Chong Wei: Kilauan emas tetap bernyala 
Penundaan Sukan Olimpik Tokyo yang berkemungkinan dianjurkan pada 2021 boleh menjadi sesuatu yang positif buat kontinjen Malaysia apabila membabitkan prospek pingat emas seperti Azizulhasni Awang.

Wabak koronavirus baru (Covid-19) memaksa banyak kejohanan kelayakan dibatalkan sebelum Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) dan tuan rumah, Jepun, mengesahkan temasya itu turut mengambil langkah serupa. 

Chef-de-mission (CDM) negara ke negara Matahari Terbit itu, Datuk Lee Chong Wei, menganggap program persiapan amat penting sekiranya atlet mahu mengharumkan nama negara di pentas besar berkenaan.

"Berdasarkan dua pencapaian medalnya dalam dua kejohanan lalu, tiada masalah buat Azizulhasni kerana dia sudah senior.

"Dia sudah tahu apa yang dimahukannya cuma persoalannya bagaimana dia mahu mengekalkan program persiapannya.

"Kita perlu terima keputusan IOC, terpulang kepada setiap persatuan dan jurulatih berkenaan program atlet bagi menghadapi kejohanan tahun depan," katanya kepada wartawan Nadi Arena, Shahrazad Sani, semalam.

Pemain badminton perseorangan negara, Lee Zii Jia, juga berpeluang cerah berlandaskan aksi garangnya dalam Kejohanan Seluruh England. 

"Lee Zii Jia menunjukkan proses peningkatan dan jurangnya boleh dilihat khususnya dalam Terbuka Malaysia dan Seluruh England.

"Mungkin setahun akan datang, dia akan menimba lebih banyak pengalaman dan boleh mengurangkan kesilapannya.

"Lebih ramai pemain yang akan menggeruninya jadi peluangnya pada tahun depan akan jadi lebih cerah."


 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen