Malaysia hilang prospek pingat emas acara wushu bagi Sukan Asia Indonesia 2018 apabila jaguh acara nandao-nanquan, Tai Cheau Xuen, mengambil keputusan bersara selepas gagal pulih daripada beberapa siri kecederaan.

Cheau Xuen mengambil keputusan drastik meninggalkan skuad kebangsaan selepas mengalami kecederaan siku dan lutut sejak tahun lalu.

Ia merupakan antara punca jaguh berusia 26 tahun ini gagal meraih pingat dalam banyak kejohanan, termasuk Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, Ogos lalu.

“Cheau Xuen kerap mengalami kecederaan sejak beberapa tahun yang lepas sehingga kini. Dia kerap bertemu dengan pegawai perubatan dan antara atlet yang rajin menjalani proses pemulihan untuk terus beraksi,” kata jurulatih wushu negara, Lim Yew Fai.

"Saya berpendapat sudah tiba masa untuk Cheau Xuen berehat daripada saingan wushu dan memikirkan mengenai masa depannya."

Cheau Xuen turut terpalit dengan isu doping apabila dikesan positif sibutramine ketika beraksi dalam Sukan Asia 2014 sehingga terpaksa memulangkan semula pingat emas nandao-nanquan yang dimenanginya..

Ketiadaan Cheau Xuen akan digantikan oleh Tan Cheong Min yang mencipta kejayaan muncul juara dalam Kejohanan Wushu Dunia Ke-14 di Kazan, Russia, awal bulan ini.

“Dia seorang senior yang sangat baik. Cheau Xuen sering memberikan ilmu baru kepada saya dan saya berharap untuk terus mempamerkan aksi cemerlang untuk negara,” kata Cheong Min.