Mesyuarat Exco, Persekutuan Sukan Para Asean (APSF), masih belum dapat memberikan kata putus jumlah akhir sukan yang bakal dipertandingkan dalam Sukan Para Asean Kuala Lumpur 2017 kerana ia masih menjadi perbincangan di antara delegasi.
Malaysia memperuntukkan untuk menganjurkan 16 jenis sukan dalam temasya itu, bagaimanapun, delegasi mahu penambahan sehingga 18 jenis sukan, dengan catur mahu diberikan keutamaan.
Menurut Timbalan Presiden, Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Subramaniam Raman Nair, yang juga bertindak sebagai chef-de-mission, Malaysia masih dalam pertimbangan untuk menambah jenis sukan kerana mengambil kira faktor kewangan dan masa.
"Isu utama adalah sukan catur, kami akan bertolak-ansur walaupun tidak menganjurkan 18 acara sukan, tetapi mengapa tidak 17 acara.
"Itu merupakan isu utama yang dibangkitan di dalam mesyuarat dan keputusan muktamad akan diketahui dalam dua atau tiga hari lagi. Ia akan dimaklumkan kepada semua delegasi," jelasnya.
Tambah Subramaniam, keseluruhannya delegasi masih berpuas hati dengan semua pembentangan yang dibuat oleh Malaysia untuk menganjurkan Sukan Para Asean Kuala Lumpur 2017.
Sementara itu, Ketua Umum Majlis Paralimpik Indonesia, Sanny Marbun, berkata: "Semuanya dilihat berjalan dengan lancar. Apa yang penting kami semua telah bersepakat bahawa pada 2017, Malaysia akan menjadi tuan rumah."
"Ia merupakan satu mesyuarat yang penuh dengan pengisian bersama pihak penganjur dan sudah tentu ia turut membabitkan semua ahli lembaga majlis. Saya berasa kami telah mencapai kata sepakat dan persefahaman tentang jumlah sukan yang akan dipertandingkan," jelas Presiden Majli Paralimpik Filipina, Michael Barredo.
Pengumuman rasmi bakal diumumkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam masa terdekat setelah meneliti segala rayuan dan permohonan delegasi APSF.