Terpilih mewakili Malaysia ke kejohanan dunia mungkin menjadi kebanggaan buat atlet bina badan wanita, Meilaura Dora Jimmy.

Namun, dia kini berdepan cabaran lain apabila terpaksa mengumpul dana sendiri untuk beraksi dalam Kejohanan Bina Badan dan Sukan Susuk Tubuh Dunia 2016 di Pattaya, Thailand dari 29 November hingga 5 Disember depan.

Anak kelahiran Kota Kinabalu yang kini berusia 36 tahun itu dipilih Persekutuan Bina Badan Malaysia (MBBF) untuk mewakili negara ke kejohanan edisi kelapan berkenaan atas tiket kategori B.

Ini bermakna Meilaura terpaksa mengeluarkan duit perbelanjaan sendiri untuk bersaing di Pattaya dan hanya boleh menuntut semula perbelanjaannya jika beraksi cemerlang dalam kejohanan itu.

Menurutnya, dia memerlukan kira-kira RM10,000 untuk menampung perbelanjaan persiapannya ke kejohanan itu.

Ia juga kali ketiga Meilaura mewakili negara ke pertandingan antarabangsa di mana dia pernah memenangi pingat gangsa bagi kategori wanita senior atas 46kg dalam Kejohanan Bina Badan dan Sukan Susuk Tubuh Asia Ke-47, pada 2013.

Pada tahun berikutnya, dia sekali lagi diberi kepercayaan untuk menyertai pasukan Malaysia ke kejohanan yang sama bagi edisi ke-48 dan sekali lagi memenangi pingat gangsa.

Meilaura kemudian terus diberi kepercayaan apabila terpilih untuk bersaing dalam Kejohanan Bina Badan dan Sukan Susuk Tubuh Dunia Ke-6 di Mumbai, India, namun, terpaksa menarik diri kerana masalah kewangan.

Kali ini, dia sekali lagi teruja apabila dipilih untuk menyertai kejohanan dunia dan difahamkan, dia yang memiliki ketinggian 156sm akan bersaing dalam kategori 55kg ke bawah.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada MBBF kerana memberi saya peluang keemasan ini. Saya sangat bersyukur dan teruja kerana dapat beraksi dalam kejohanan kelas dunia serta bersaing dengan atlet berkelas dunia.

"Walaupun terpaksa mengeluarkan perbelanjaan sendiri, saya masih bersemangat untuk menyertainya dan saya berharap akan ada pihak di luar sana yang mahu memberi sedikit pertolongan, terutama dari aspek perbelanjaan persiapan saya," katanya ketika ditemui di Kota Kinabalu, baru-baru ini.

Terdahulu, Meilaura turut menerima sumbangan kewangan daripada seorang individu, Dr Wong Su En @ Jeffrey yang menyokong hasrat Meilaura ke kejohanan dunia berkenaan.

Turut hadir ialah pemangku Presiden Persatuan Bina Badan Sabah (SBBA), Joannes Stanelous, yang dijangka bakal mengiringi Meilaura ke Thailand nanti.

Sehubungan itu, mana-mana pihak ingin membantu Meilaura boleh terus menghubunginya di nombor 016-8496854 atau Joannes di nombor 013-8517730.