Bekas pengendali negara, Abdul Halim Budin, kecewa dengan cara Persekutuan Bina Badan Malaysia (PBBM) mengendalikan kes doping pertama tahun ini kerana berbeza dengan apa yang dialami bekas Mr. Universe, Sazali Samad.

PBBM enggan mendedahkan identiti atlet bina badan yang positif steroid itu tatkala dia enggan menjalani ujian sampel B dan dijatuhkan hukuman penggantungan empat tahun.

Apa yang mengecewakan, badan itu tidak membuat sebarang pengumuman walaupun ia kes positif pertama membabitkan atlet negara tahun ini.

"Bagi saya, kami berbalik kepada peraturan Agensi Anti-Doping Dunia (WADA), di mana jika seseorang atlet itu positif, perlu menghadap jawatankuasa disiplin dan jika mereka mengaku tanpa menghantar ujian sampel B, pihak persatuan perlu menghebahkannya. Ini adalah garis panduan WADA," kata Halim.

Ketika ini, skuad negara masih segar dengan kejayaan Syarul Azman Mahen Abdullah muncul Mr. Universe, Sabtu lalu, dua bulan selepas mempertahankan gelaran Mr. Asia di Batam, Indonesia.