Jurulatih memanah Paralimpik kebangsaan, Marzuki Zakaria, memberi bayangan dua kategori pemanah perlu diwujudkan dalam sistem kejohanan tempatan untuk memastikan persaingan lebih hebat dalam kalangan atlet.

Menurut Marzuki, langkah itu masih di peringkat cadangan untuk dilaksanakan dalam kalendar kejohanan musim 2017.

Berdasarkan sistem kategori itu, pemanah yang berada dalam kelompok bawahan masih mempunyai peluang untuk bersaing menentang barisan pemanah elit.

"Di peringkat negeri nanti, kita akan melahirkan ramai atlet baru yang akan bertanding dalam kategori yang sama di mana apabila mereka melepasi sasaran yang ditetapkan, mereka akan layak ke kategori satu yang terdiri daripada atlet-atlet senior," terang Marzuki.

Dalam pada itu, Marzuki berpuas hati dengan persembahan yang dipamerkan pemanah dalam Kejohanan Sirkit Akhir Kebangsaan yang berlangsung sehingga esok.

Selain pemanah yang berada dalam Program Kita Juara, peserta dari negeri juga mampu memberi ancaman, apatah lagi ini merupakan sebahagian daripada proses pemilihan untuk Sukan Para ASEAN 2017 Kuala Lumpur.

"Kita dapat menilai keputusan-keputusan yang diraih mereka lebih tinggi daripada sesi latihan di mana ini merupakan pemilihan awal.

"Kami berharap mereka dapat meneruskan lagi (usaha meningkatkan prestasi) kerana kami akan cuba menilai dari semasa ke semasa.

"Kemungkinan kami akan mengadakan perbincangan pada bulan Mei atau Jun tahun depan apabila kami sudah membentuk satu pasukan atau seorang atlet yang telah bersedia untuk menggalas cabaran dalam kejohanan tahun depan."